Thursday, January 15, 2009

Sekolah Pelbagai Aliran Lebih Sesuai

.


SUBANG 15 Jan. - Sistem pendidikan pelbagai aliran lebih sesuai untuk negara ini berbanding satu aliran yang dilaksanakan di beberapa negara jiran, kata Datuk Seri Najib Tun Razak
Timbalan Perdana Menteri berkata, kewujudan sekolah seperti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil (SJKC/SJKT) serta sekolah mubaligh memenuhi kepentingan masyarakat majmuk di negara ini.

Tegasnya, perbezaan aliran dalam sistem pendidikan bukan tanda kelemahan tahap hubungan kaum di negara ini sebaliknya ia mencerminkan 'kekuatan dalam kepelbagaian'.
Beliau menjelaskan, sistem itu memberikan kebebasan kepada ibu bapa di negara ini untuk memilih jenis aliran persekolahan yang difikirkan sesuai untuk anak masing-masing.
"Jadi saya harap isu pendidikan di sekolah-sekolah tidak dipolitikkan kerana ia mampu mengundang kontroversi.

"Sistem sekolah aliran ini sebenarnya telah diamal dan dipersetujui sejak awal iaitu pada era kemerdekaan oleh para pemimpin pengasas negara," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Cek Bantuan Kewangan kepada SJKC Di Bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Negara Tahun 2009 di sini hari ini. Hadir sama, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Pengangkutan yang juga Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat dan Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.

Tambah Najib, tiada apa yang silap dengan sistem pelbagai aliran yang wujud sejak selepas kemerdekaan itu, melainkan ia hanya dipolemikkan secara berterusan.
Kata beliau, komposisi masyarakat majmuk di negara ini menuntut kerajaan mendirikan sekolah-sekolah pelbagai aliran demi memastikan bahasa dan budaya semua kaum terus terpelihara. ''Apa yang lebih penting kini ialah kerjasama di antara semua lapisan masyarakat dalam menentukan sistem pendidikan negara mencapai taraf dunia dan memberikan pandangan yang membina," ujarnya.

Penyerahan cek itu merupakan sebahagian daripada peruntukan tambahan kerajaan buat empat kategori sekolah terbabit yang bernilai RM200 juta di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Negara tahun ini. Buat pertama kali, Najib mengumumkan, peruntukan RM50 juta buat setiap jenis sekolah itu diserahkan terus kepada para pengelola sekolah berkenaan di seluruh negara untuk diuruskan sendiri berbanding melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum ini.
Katanya, di bawah pakej itu, para pengelola diberi tanggungjawab melantik sendiri kontraktor untuk menjalankan kerja-kerja penambahbaikan di sekolah terpilih pada harga yang diperuntukkan kerajaan.

Beliau memberitahu, antara kelebihan yang dijanjikan para pengelola sekolah berkenaan termasuklah setiap projek boleh diperoleh pada harga lebih rendah kerana ia tidak melalui proses pembidaan tender. "Kita ingin mendapatkan nilai terbaik untuk wang yang dikeluarkan," katanya. Kerajaan akan memastikan pihak pengelola sekolah menggunakan peruntukan masing-masing secara bertanggungjawab kerana ia melibatkan wang rakyat dan mesti dibelanjakan pada tahun ini.
.

No comments:

Post a Comment