Monday, January 26, 2009

Kekacang Baik Untuk Jantung

MENIKMATI kekacang setiap hari selama setahun, bersama-sama diet Mediterranean yang kaya dengan buah-buahan, sayur-sayuran dan ikan, boleh membantu mengurangkan risiko penyakit jantung.Penyelidik Sepanyol mendapati, menambah kekacang lebih baik daripada menambah minyak zaitun dalam diet Mediterranean.

Kedua-dua regimen berkenaan mengurangkan risiko sakit jantung dikenali sebagai sindrom metabolik berbanding amalan diet rendah lemak.“Apa yang paling memeranjatkan, didapati ia mempunyai kelebihan metabolik tetapi ia tidak mengurangkan kalori atau berat badan,” kata Ketua Perubatan Pencegahan Hospital Wanita Brigham, Harvard, Dr JoAnn Manson.

Dalam kajian terbabit, mereka yang menunjukkan peningkatan paling baik itu menikmati kacang hazel, walnut dan badam. Mereka didapati tidak mengalami penurunan berat badan tetapi ramai yang berjaya mengurangkan lemak di perut serta meningkatkan tahap kolesterol dan tekanan darah.

Bagaimanapun, Dr JoAnn yang tidak terbabit dalam kajian berkenaan, memberi amaran amalan menambah kekacang dalam diet masyarakat Barat (lazimnya terlalu banyak kalori), boleh menyebabkan penambahan berat badan dan mendedahkan kepada risiko kesihatan.
“Tetapi menggunakan kekacang untuk menggantikan snek seperti kentang goreng lebih digalakkan,” katanya.

Persatuan Jantung Amerika melaporkan, kira-kira 50 juta warga Amerika Syarikat mengalami sindrom metabolik iaitu kombinasi risiko kesihatan seperti tekanan darah tinggi dan obesiti di bahagian perut.Kekacang membantu seseorang rasa kenyang dan pada masa sama, membantu meningkatkan keupayaan untuk membakar lemak, kata pengarang utama di Universiti Rovira i Virgili, Sepanyol, Dr Jordi Salas-Salvado.“Kekacang boleh memberikan kesan terhadap sindrom metabolik menerusi pelbagai mekanisme,” katanya.Kekacang kaya dengan bahan antiradang seperti serat dan antioksidan misalnya vitamin E. Ia tinggi kandungan lemak tidak tepu, sejenis lemak lebih menyihatkan yang dikenal pasti membantu meningkatkan kolesterol baik.

Lebih daripada 1,200 warga Sepanyol berusia dari 55 hingga 80 tahun mengambil bahagian dalam kajian yang dibahagikan kepada tiga diet itu. Ia membabitkan tempoh setahun manakala peserta tidak mempunyai sejarah penyakit jantung tetapi sesetengahnya mempunyai faktor risiko kencing manis, tekanan darah tinggi dan obesiti perut.Kumpulan pertama membabitkan pemakanan rendah lemak iaitu mereka dinasihatkan mengurangkan semua lemak dalam makanan. Kumpulan kedua menikmati diet Mediterranean dengan tambahan kekacang. Kumpulan ketiga juga menikmati diet Mediterranean dan dipastikan mengambil lebih daripada empat sudu besar minyak zaitun setiap hari.

Pakar pemakanan menasihatkan dua kumpulan yang mengamalkan diet Mediterranean itu supaya menggunakan minyak zaitun untuk memasak, menambah pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran dan ikan serta mengambil daging putih berbanding daging lembu atau daging diproses. Mereka juga perlu menyediakan sos tomato dibuat sendiri yang dicampur bawang putih, bawang dan herba.

Selepas setahun, ketiga-tiga kumpulan menunjukkan pengurangan dari segi sindrom metabolik tetapi kumpulan yang mengamalkan pengambilan kekacang menunjukkan prestasi terbaik.Kajian terbabit dibiayai Kementerian Kesihatan Sepanyol dan kerajaan negeri Valencia, Sepanyol - Agensi

.

No comments:

Post a Comment