Monday, January 26, 2009

Permainan Video Dorong Remaja Ganas

.
REMAJA yang bermain permainan video dengan aksi ganas boleh menyebabkan mereka lebih agresif, lapor kajian terbaru membabitkan golongan berkenaan di Jepun dan Amerika Syarikat.Penyelidik berpendapat, di kalangan tiga kumpulan remaja berusia antara 9 dan 18 tahun yang dipantau selama beberapa bulan, mereka yang kerap bermain permainan video ganas lebih cenderung terbabit pergaduhan.Kajian itu antara terawal yang merekodkan perubahan dari segi sifat ganas pemain, menyokong bukti permainan video boleh menggalakkan perlakuan ganas kepada sesetengah kanak-kanak.

Ia juga kajian pertama menunjukkan kesan buruk yang dilihat dalam budaya berlainan, lapor penyelidik dalam Jurnal Pediatrik."Secara dasarnya, apa yang ditemui dalam tiga sampel ini, lebih banyak seseorang bermain permainan video ganas, lebih tinggi kemungkinan mereka terbabit perlakuan ganas ketika zaman persekolahan walaupun anda mengawal gejala itu di peringkat awal," kata penyelidik utama daripada Universiti Iowa State, Dr Craig A Anderson.
Pendapat mengenai permainan video menyumbang kepada perlakuan ganas dipertikai berikutan kadar keganasan di Jepun rendah walaupun aktiviti itu amat popular di negara berkenaan, kata Anderson.

"Adakah dalam kes ini, kanak-kanak Jepun tidak menerima kesan daripada permainan video ganas? Sudah tentu tidak. Mereka turut menerima kesan seperti kanak-kanak Amerika," katanya.Hasil kajian berdasarkan dua kumpulan iaitu seramai 1,231 remaja Jepun dan 364 kanak-kanak berusia antara 9 dan 12 tahun dari Amerika. Pada permulaan, kanak-kanak memberitahu kekerapan bermain permainan video sebelum perlakuan ganas mereka ditonton dalam tempoh enam bulan berikutnya.Remaja Jepun melaporkan perlakuan ganas mereka menerusi soal selidik, manakala guru dan rakan menjadi sumber untuk merekodkan gejala sama di kalangan kanak-kanak Amerika.

Secara umum, pasukan Anderson melihat kanak-kanak yang kerap bermain permainan video ganas lebih cenderung terbabit pergaduhan walaupun perlakuan mereka sebelum itu sudah lama dipantau.Bagaimanapun, tidak semua kanak-kanak yang bermain permainan video ini meniru aksi ganas dalam kehidupan seharian. Media juga tidak seharusnya dipersalahkan dalam gejala ganas di kalangan kanak-kanak, kata kaji selidik.

Tetapi, permainan ini, menurut penyelidik, memberi gambaran keganasan perkara normal dan boleh digunakan apabila berdepan konflik harian seperti apabila ditolak di luar bilik darjah. "Penting untuk menyedari permainan video tidak melahirkan 'penembak' di kalangan pelajar sekolah," kata seorang lagi penyelidik dalam bidang sama, Dr Douglas A Gentile."Permainan ganas bukan faktor tunggal yang menyebabkan peningkatan gejala ganas di kalangan kanak-kanak, tetapi kajian ini menunjukkan ia salah satu penyebab kepada masalah ini di Jepun dan Amerika Syarikat," katanya. - Agensi.


.

No comments:

Post a Comment