Thursday, January 15, 2009

Pinggan Ubi Kayu

.

Hasil keluaran NHI berbeza dengan pinggan polistrin kerana pinggan ubi kayu lebih mesra alam dan boleh lupus dalam tempoh 28 hari UBI kayu memang sinonim di negara ini sebagai pengalas perut ketika Perang Dunia Kedua. Kini ia lebih popular sebagai makanan ringan seperti kerepek selain dijadikan kanji memekat kuah masakan. Di Brazil, tepung ubi kayu digunakan dalam pelbagai jenis masakan. Ia digoreng, dipanggang dan dipercik dengan santan manakala di Amerika Syarikat pula, ubi kayu diuli kecil bersaiz dua hingga tiga milimeter (mm) untuk dijadikan perhiasan seperti mutiara.

‘Resume’ ubi kayu di seluruh dunia memang hebat. Justeru, tidak hairan apabila sebuah syarikat tempatan, Natures Harmony Industries Sdn Bhd (NHI) yang menjalankan penyelidikan selama tiga tahun berjaya menghasilkan pinggan daripada ubi kayu. Lebih unik, pinggan yang dihasilkan itu boleh dimakan. Sejak diperkenalkan pada awal Oktober lalu, NHI menerima banyak pertanyaan daripada orang ramai yang ingin mengetahui keistimewaan pinggan ubi kayu. Dengan dihasilkan daripada bahan semula jadi dan mesra alam, pinggan pakai buang ubi kayu memang ditunggu-tunggu untuk menggantikan pinggan pakai buang yang ada di pasaran sekarang. Memang diakui di pasaran sekarang terdapat pelbagai jenama pinggan pakai buang yang kebanyakannya dihasilkan daripada bahan buangan. Ada juga yang dihasilkan daripada bahan petroleum. Justeru, dari segi kesihatan, penggunaan produk itu agak berisiko kerana ia mungkin merangsang sel barah, lebih-lebih lagi ia mengambil masa antara 120 hingga 80 hari untuk terbiourai.

Pinggan daripada ubi kayu agak berbeza kerana ia lebih mesra alam dan boleh lupus dalam tanah pada masa lebih cepat, iaitu 28 hari. Pengarah Urusan NHI, Ramaness Parasuraman, berkata pinggan daripada ubi kayu bukanlah satu-satunya produk keluaran NHI, sebaliknya syarikat itu akan menghasilkan mangkuk, sudu, garfu selain bekas makanan dan talam daging daripada bahan itu mulai tahun depan. Ramaness berkata, matlamat utama syarikat itu menghasilkan pinggan ubi kayu bertujuan untuk memberi pilihan produk yang mesra alam kepada pengguna. “Pinggan ubi kayu adalah pilihan terbaik bagi kempen cintai alam sekitar. Ia mudah lupus kerana dibuat daripada bahan semula jadi selain sisanya boleh dijadikan makanan ternakan,” katanya.

Pinggan ubi kayu memiliki jangka hayat selama dua tahun dan selepas itu mikrobnya akan lupus secara semula jadi menjadikan saiznya mengecil daripada saiz sebenar. Ramaness berkata, syarikat itu menghasilkan pinggan ubi kayu berasaskan pemerhatian selain pembangunan dan penyelidikan yang dilakukannya. “Dulu ubi kayu popular sebagai kerepek. Sekarang, ia boleh dibangunkan menjadi pinggan sekali gus membantu meningkatkan ekonomi petani. Penggunaan pinggan ubi kayu juga bersesuaian dengan polisi sesetengah negara yang menggalakkan produk mesra alam,” katanya. Beliau berkata, polisi kebanyakan negara barat yang mengharamkan penggunaan bekas makanan daripada polistrin membuka ruang kepada produk berkonsepkan mesra alam seperti pinggan ubi kayu. “Ketika kami membawanya ke Amerika Syarikat buat pertama kali, ia mendapat sambutan yang sungguh menggalakkan.

Malah, kami menerima tempahan dari sebuah rangkaian hipermarket di negara itu dan mulai tahun ini kami akan meningkatkan pengeluarannya,” katanya. Selain Amerika Syarikat, konsep mesra alam pinggan ubi kayu ini turut menarik perhatian syarikat pengendali kereta api China, iaitu China Railways Road yang menyediakan ribuan kotak makanan sehari untuk penumpangnya menggunakan pinggan pakai buang, polistrin. Bekas makanan itu biasanya sukar diuruskan kerana jumlahnya yang banyak dan mengambil masa lama untuk dilupuskan. Ramaness berkata, selain mempromosikan produk mesra alam untuk menembusi pasaran antarabangsa, pengeluarannya pinggan ubi kayu boleh meningkatkan taraf hidup petani di negara ini yang mengusahakan tanaman itu. Ketika ini kebanyakan bekalan ubi kayu yang diperoleh NHI dibawa masuk dari Thailand.

Namun, menjelang tahun depan bekalan mentah ubi kayu juga dijangka diperoleh dari ladang tempatan seperti Kelantan. NHI kini beroperasi di Nilai dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 1.5 juta unit sebulan. Oleh kerana sambutan sungguh menggalakkan daripada pasaran tempatan dan luar negara, NHI akan memperbesarkan saiz kilang, menambah lima buah mesin yang dibeli dari Jerman. Peningkatan taraf kilang dijangka mampu menghasilkan sekurang-kurangnya 48 juta unit pinggan. Untuk memenuhi permintaan dari negara luar antaranya Amerika Syarikat dan China, NHI juga mengalu-alukan mereka yang berminat untuk membuat pelaburan dan menjadi wakil pengedar.

.

INFO: Pinggan ubi kayu

-Pinggan ubi dihasilkan daripada 99 peratus tepung ubi kayu
-Prosesnya bermula dengan diformulasikan selama 20 minit sebelum diuli dengan mesin uli

berbentuk kawah kecil selama 30 minit.
-Selepas menjadi doh, ia akan dipotong-potong kecil menggunakan mesin pemotong.
-Setiap satu doh dimasukkan ke dalam acuan membentuk pinggan.
-Setiap satu doh akan dibakar selama 45 saat pada tahap 220 hingga 240 darjah Celsius.
-Pinggan yang dihasilkan akan dihantar ke mesin pengukur dan pemotong berbentuk saiz

pinggan bagi memastikan setiap produk memiliki ukuran standard.
-Pinggan ubi kayu boleh menahan kepanasan hingga 180 darjah Celsius atau selama empat jam

sebelum mula mengembang.
-Bagi makanan sejuk ia boleh bertahan selama sehari.
-Jika tidak digunakan langsung, ia boleh bertahan selama dua tahun.
-Bagi memastikan mutu dan kualiti pinggan yang dihasilkan, hanya ubi kayu jenis KU 55 saja

digunakan. Ini kerana ubi kayu jenis ini memiliki kandungan serat yang tinggi.


.

No comments:

Post a Comment