Thursday, January 15, 2009

PPSMI- Pendirian Pak Lah

KUALA TERENGGANU 15 Jan. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, isu pelaksanaan pengajaran Sains dan Matematik di dalam bahasa Inggeris (PPSMI) bukan satu perkara yang boleh diperkatakan secara sewenang-wenangnya tanpa berdasarkan fakta.
Menurut Perdana Menteri, mereka yang ingin memberi komen tentang isu itu hendaklah berbuat demikian berdasarkan kajian dan fakta.


Jelasnya, kerajaan bukan berdiam diri berhubung pelaksanaan PPSMI, sebaliknya pada masa ini keputusan mengenainya belum dibuat kerana kajian tentang perkara itu masih belum selesai.
Katanya, kajian yang dibuat mengambil kira beberapa perkara termasuk keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan baru-baru ini.


''Seperti yang diberitahu kepada saya oleh Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, kajian mengenai perkara ini belum lagi selesai, (ada) sikit lagi.
''Pada waktu ini tak payah komen, ini bukan satu isu yang kerajaan diamkan diri dan ini bukan isu yang boleh buat macam-macam komen," katanya selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Belia Bersama Perdana Menteri di sini hari ini.


Perdana Menteri mengulas mengenai tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggunakan isu PPSMI sebagai bahan kempen untuk memenangi hati pengundi Melayu pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu Sabtu ini.

Abdullah memberitahu, selain keputusan UPSR dan PMR, kajian yang dibuat turut mengambil kira keupayaan guru mengajar dalam bahasa Inggeris, kedudukan bahasa Melayu, Perlembagaan Negara serta perbandingan prestasi sekolah bandar dan luar bandar.
Menurutnya, apabila semua maklumat itu diperoleh, laporan mengenainya akan dibuat seterusnya dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.


Selepas itu jelasnya, Jemaah Menteri akan berbincang dan membuat keputusan mengenai pelaksanaan PPSMI berdasarkan maklumat-maklumat yang lengkap itu.

.

No comments:

Post a Comment