Thursday, December 25, 2008

Ujian HIV wajib 2009


KUALA LUMPUR: Peraturan yang mewajibkan bakal pengantin beragama Islam menjalani ujian saringan HIV, akan dikuatkuasakan di semua negeri di Se menanjung, mulai tahun depan. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata saringan itu akan dijalankan ketika bakal pengantin mengikuti kursus pra perkahwinan.
.
"Langkah ini selaras dengan sasaran kerajaan untuk mengurangkan kes HIV, terutama di kalangan wanita yang kini menunjukkan peningkatan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Aids di bangunan Parlimen, semalam. Ketika ini, hanya beberapa negeri termasuk Selangor, Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak dan Kelantan, mewajibkan bakal pengantin beragama Islam menjalani saringan HIV.
.
Beliau berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan turut turun padang berjumpa penagih dadah dalam usaha mengurangkan kes jangkitan HIV. Najib berkata, jawatankuasa itu membuat keputusan memberi fokus kepada kumpulan berisiko tinggi, yang pendekatannya akan dibincangkan pada mesyuarat akan datang. "Mesyuarat juga menetapkan supaya Majlis Aids Malaysia menjadi ahli jawatankuasa Kabinet itu.
.
Sebelum ini, majlis itu menganggotai Jawatankuasa Teknikal Mengenai Aids yang dipengerusikan Ketua Pengarah Kesihatan," katanya. Beliau berkata, menerusi usaha yang lebih tersusun di bawah Pelan Strategik Kebangsaan mengenai Aids 2006-2010, Malaysia berjaya mengurangkan kes jangkitan HIV sebanyak kira-kira 50 peratus daripada 6,756 kes pada 2003 kepada 3,452 kes tahun ini. Antara faktor terbesar yang menyumbang kepada pengurangan itu ialah program pengurangan mudarat oleh Kementerian Kesihatan membabitkan penggunaan methadone sebagai penggantian dan program penukaran jarum bersih serta khidmat kaunseling.
.
Bagaimanapun, Najib berkata program itu perlu diperhebatkan supaya dapat mencapai sasaran mengurangkan jangkitan HIV/Aids kepada 11 kes bagi setiap 100,000 penduduk menjelang 2015, berbanding 12.8 kes bagi setiap 100,000 penduduk sekarang. Timbalan Perdana Menteri turut menyuarakan kebimbangan berhubung trend jangkitan HIV di kalangan wanita yang meningkat daripada 5.02 peratus pada 1997 kepada 16.7 peratus pada 2007. Secara kumulatif pula, kes HIV sehingga kini berjumlah 83,527 dan daripada jumlah itu 14,317 adalah pesakit Aids dan 12,245 orang sudah meninggal dunia.
.
"Oleh itu, kita perlu menganggap Aids sebagai ancaman serius dan mengikut Tabung Aids Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNAids), Malaysia dikategorikan sebagai negara dalam kumpulan berisiko tinggi," katanya. Beliau berkata, UNAids juga mengambil maklum usaha yang dijalankan Malaysia dan sejak beberapa tahun lalu, status negara ini ditukar daripada negara yang kurang kesungguhan politik memerangi Aids kepada yang mempunyai kesungguhan tinggi memerangi Aids. "Ini menandakan Malaysia sudah mendapat pengiktirafan pada peringkat antarabangsa," katanya.
.

No comments:

Post a Comment