Friday, December 26, 2008

Isu Tali Pinggang

KUALA LUMPUR: Berkuat kuasa 1 Januari ini, saman maksimum RM300 akan dikeluarkan serta-merta kepada pemandu atau penumpang kereta yang gagal mematuhi peraturan pemakaian tali pinggang keledar tempat duduk belakang. Saman itu akan dikeluarkan terus kepada penumpang belakang yang berusia 17 tahun ke atas jika gagal mematuhi peraturan terbabit, manakala bagi kanak-kanak atau remaja di bawah usia berkenaan, ia akan diberikan kepada pemandu.

Sumber memberitahu, kadar saman maksimum RM300 dan kaedah pelaksanaan terbabit sudah diputuskan Kementerian Pengangkutan baru-baru ini, manakala arahan mengenainya akan dikeluarkan kepada pihak berkuasa terbabit untuk dilaksanakan. "Kita dijangka memuktamadkan mengenai kaedah terbaik untuk menguatkuasakan peraturan itu dalam satu mesyuarat yang dijadual diadakan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selasa ini.

"Pengumuman rasmi mengenai kaedah pelaksanaan dan penguatkuasaan peraturan baru itu pula dijangka dibuat Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat pada hari yang sama," katanya kepada Berita Harian, semalam.

Sumber itu berkata, keputusan mengeluarkan saman terhadap penumpang yang tidak memakai tali pinggang keledar di tempat duduk belakang dan pemandu yang gagal memastikan penumpang di bawah umur dalam kereta mereka mematuhi peraturan itu diputuskan semalam. Cadangan mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar bagi penumpang bahagian belakang kenderaan mula ditimbulkan pada Mac 2006 oleh Menteri Pengangkutan ketika itu, Datuk Seri Chan Kong Choy berikutan syor pelbagai pihak.

Bagaimanapun, ia hanya diluluskan oleh Kabinet pada Februari lalu selepas kajian mengenainya dilakukan kementerian dengan kerjasama JPJ, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan PDRM. April lalu, rang undang-undang mengenai penguatkuasaan peraturan itu diluluskan di Dewan Rakyat dan Ong mengumumkan kerajaan akan mula menguatkuasakan peraturan berkenaan bermula pada 1 Jun lalu. Bagaimanapun, kerajaan memutuskan untuk memberi tempoh percubaan selama enam bulan bagi membolehkan pengguna membiasakan diri dengan peraturan baru berkenaan sebelum ia diwajibkan sepenuhnya bermula 1 Januari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah JKJR, Datuk Suret Singh ketika dihubungi semalam berkata, kerajaan sudah menetapkan supaya peraturan itu dikuatkuasakan sepenuhnya bermula tahun baru ini walaupun ada pihak mendesak ia dikaji semula atau ditangguhkan lagi. Katanya, kajian semula dan penangguhan tidak perlu kerana penyelidikan terperinci mengenai peraturan itu sudah dibuat sejak tiga tahun lalu membabitkan pelbagai aspek termasuk kaedah pelaksanaan terbaiknya serta serta kesannya kepada rakyat.

Kita sedih bila niat murni kerajaan yang bertujuan untuk menyelamatkan nyawa pengguna jalan raya disalah anggap sebagai tindakan menyusahkan. JKJR dan Miros sudah membuat penelitian semula apabila menerima bantahan ramai dan mendapati ia tidak wajar ditangguhkan," katanya. Sebelum ini, Miros mengumumkan kajian yang dilaksanakannya menunjukkan bahawa 40 hingga 50 peratus daripada jumlah kes kematian, cedera parah dan kecederaan ringan membabitkan penumpang belakang boleh diselamatkan menerusi pemakaian tali pinggang di tempat duduk belakang.


.

No comments:

Post a Comment