Wednesday, August 25, 2010

Amalan-amalan Menyambut Aidil Fitri

Idul Fitri ialah hari merayakan kejayaan bagi orang-orang yang melaksanakan puasa, melakukan solat tarawih dan ibadah-ibadah lain. Kita meraikan kemenangan melawan dan mendidik nafsu. Justeru, marilah sama-sama kita hiasi Syawal ini dengan amalan berteraskan sunnah dan syiar Islam agar kita terus beroleh ganjaran pahala dan keampunan.

‘Idul Fitri merupakan perayaan yang disyariatkan oleh Islam. Ia semakin bermakna apabila kita merayakannya mengikut lunas-lunas Islam. Oleh itu, marilah kita rayakannya mengikut tatarcara dan adab yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Antara amalan-amalan yang dituntut dalam menyambut ‘Idul Fitri ialah :

1. Memastikan menyempurnakan zakat fitrah bagi diri sendiri dan tanggungan. Allah Taala berfirman dalam surah At-Taubah ayat 103 yang bermaksud : “Ambillah zakat dari kekayaan mereka untuk membersihkan dan mensucikan mereka dengannya dan berdoalah untuk mereka, sesungguhnya doamu mendatangkan ketenteraman bagi mereka dan (ingatlah) Allah maha mendengar lagi maha mengetahui”

Jumhur ulamak menyatakan bahawa waktu bagi menunaikan zakat fitrah terbahagi kepada lima iaitu:
a. Waktu Harus : Menunaikan zakat pada awal bulan ramadhan
b. Waktu Wajib : Menunaikan zakat fitrah mulai terbenam matahari pada akhir ramadhan
c. Waktu Afdal : Menunaikan zakat fitrah sebelum menunaikan solat hari raya
d. Waktu Makruh : Menunaikan zakat fitrah selepas solat hari raya tanpa keuzuran
e. Waktu Haram : Menunaikan zakat fitrah selepas hari raya tanpa keuzuran

2. Memperbanyakkan amalan sunat pada malam hari raya. Ingatlah empat
malam istimewa seorang hamba beribadah kepada Allah. Allah akan melipatgandakan ganjaran pahalanya, apabila memohon taubat diampunkan dosanya dan apabila berdoa dimakbulkan doanya iaitu malam Nifsu Syaaban, malam pertama ‘Idul Fitri, malam pertama ‘Idul Adha dan malam Arafah.

3. Memperbanyakkan bertakbir, bertahmid dan bertahlil kepada Allah. Lazimilah mulut kita dengan kalimah Takbir ‘Idul Fitri.

4. Menghiaskan diri dan tempat agar kelihatan bersih dan indah.

5. Mandi sunat Idul Fitri pada pagi hari raya dengan niat : “Sahaja Aku Mandii Sunat Idul Fitri Kerana Allah Taala”

6. Memakai pakaian yang baru/bersih sebagai tanda kesyukuran ke hadrat Allah Taala

7. Mengelakkan pembaziran ketika menyambut hari raya dengan persiapan yang sederhana.

8. Memakai wangi-wangian pada pagi hari raya.

9. Menjamah makanan sebelum menuju ke surau atau masjid. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Daripada Buraidah, berkata ia, adalah Rasulullah SAW tidak keluar rumah pada hari raya fitrah kecuali selepas ia makan dan ia tidak makan pada hari raya adha kecuali selepas kembali ke rumah”

10. Memohon keampunan dan bermaafan-maafan dengan ibubapa, suami isteri, anak-anak, saudara mara, jiran tetangga dan sebagainya.

11. Disunatkan pergi dan balik ke masjid menggunakan jalan yang berlainan dan lebih afdal berjalan kaki jika ia tidak terlalu jauh. Rasulullah SAW bersabda yang beremaksud : “ Dari Abi Hurairah, berkata ia, adalah Nabi SAW keluar pada hari raya dan kembali dengan jalan yang lain dari jalan ia keluar daripadanya”

12. Menunaikan solat sunat hari raya dan mendengar khutbah dengan penuh penghayatan

13. Ziarah menziarahi kaum keluarga, sahabat handai, jiran tetangga dan sebagainya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Hubungkanlah silaturahim ke atas mereka yang telah memutuskan hubungan dengan kamu dan berbuat baiklah ke atas sesiapa yang berbuat kejahatan terhadap kamu”

14. Bersedekah kepada mereka yang memerlukan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya sedekah seorang Muslim itu menyebabkan dipanjangkan umur, mengelak mati dalam kehinaan, menghilangkan perasaan takabbur dan bangga diri (Riwayat Tabrani)

15. Mengelak sambutan hari raya daripada perkara yang ditegah oleh syarak seperti pesta hiburan melampau, pergaulan bebas tanpa batas seperti menonton wayang, menganggu ketenteraman awam dengan merempit dan lain-lain lagi.

Sesunguhnya hari raya adalah hari kegembiraan umat Islam. Janganlah kita rosakkan tarbiah Ramadhan selama sebulan dengan perkara-perkara maksiat.

Bukanlah juga tabiat umat Islam yang mengganggu ketenteraman saudaranya yang lain termasuk jiran tetangga dengan dentuman meriam atau bakaran mercun hingga mengejutkan anak-anak kecil yang sedang tidur. Manakala muda –mudinya merempit di jalan-jalan kawasan taman atau kampung yang menjadikan kawasan itu hingar bingar serta membahayakan nyawa pengguna yang lain.


No comments:

Post a Comment