Monday, December 29, 2008

PPSMI Ditolak Kesatuan

Semua kesatuan guru tolak PPSMI

KUALA LUMPUR: Semua 25 kesatuan dan persatuan yang mewakili kira-kira 350,000 guru di seluruh negara sebulat suara menolak pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada peringkat sekolah rendah. Kepemimpinan semua pertubuhan guru terbabit menyuarakan pendirian sepakat itu atas tiket Majlis Permuafakatan Kesatuan/Per-satuan Guru Kementerian Pelajaran Malaysia dan sudah mengemukakan memorandum rasmi mengenai keputusan berkenaan kepada Menteri Pelajaran serta Ketua Pengarah Pelajaran. Pengerusi majlis permuafakatan itu, Jemale Paiman, berkata melalui memorandum berkenaan, mereka menggesa kerajaan mengembalikan penggunaan bahasa Melayu dan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar kedua-dua mata pelajaran berkenaan masing-masing di sekolah kebangsaan (SK) serta sekolah jenis kebangsaan (SJK).

Beliau berkata, kesatuan dan persatuan berkenaan sependapat bahawa PPSMI hanya wajar dilaksanakan mulai pendidikan menengah selepas murid mendapat pendedahan, pemahaman serta penguasaan asas yang kukuh dua subjek itu melalui pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Melayu atau bahasa ibunda mereka di sekolah rendah. Sehubungan itu, katanya, Kementerian Pelajaran disaran menggunakan semula bahasa Melayu dan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik di sekolah rendah mulai 2011 membabitkan murid Tahun Satu, sekali gus tidak menjejaskan proses pembelajaran murid sedia ada yang sedang mengikuti PPSMI. "Cadangan supaya PPSMI dimansuhkan pada peringkat sekolah rendah dalam tempoh dua tahun lagi ialah supaya penggunaan semula bahasa Melayu dan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar subjek Sains dan Matematik dilaksanakan secara terancang, teratur, bukan tergesa-gesa serta tanpa mencetuskan konflik kemudian.

"Memorandum itu dikemukakan kepada Menteri Pelajaran dan Ketua Pengarah Pelajaran melalui Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Zulkifly Mohd Wazir, pada mesyuarat antara majlis permuafakatan dan Kementerian Pelajaran di Putrajaya yang turut dihadiri semua pemimpin kesatuan serta persatuan guru berkenaan, termasuk dari Sabah dan Sarawak, 20 Oktober lalu," katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Antara kesatuan dan persatuan guru yang menganggotai majlis permuafakatan itu ialah Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pendidikan, Kesatuan Perkhidmatan Pendidikan Kebangsaan, Kesatuan Kebangsaan Guru Bahasa Melayu Se-Malaysia, Kesatuan Kebangsaan Guru-guru Besar Malaysia, Persatuan Kebangsaan Pengetua Sekolah Menengah, Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia, Kesatuan Guru-guru Sabah, Kesatuan Guru-guru Sarawak, Kesatuan Kebangsaan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia, Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat, Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia, Kesatuan Kebangsaan Guru-guru Agama Malaysia Barat, Persatuan Pengelola Pendidikan Sekolah-sekolah Malaysia, Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan serta Kesatuan Kebangsaan Guru-guru Sekolah Tamil. Kemelut PPSMI semakin meruncing apabila Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) menetapkan 15 Februari depan sebagai tempoh muktamad untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya kerajaan masih meneruskan pelaksanaan PPSMI. Selain itu, peguam dan juga bekas Pengarah Urusan MAS, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, menerusi artikelnya dalam akhbar ini semalam menyatakan bahasa Melayu mesti menjadi bahasa pengajaran mata pelajaran teras termasuklah Sains dan Matematik seperti diperuntukkan dalam Seksyen 1 dan 6, Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 17(1) Akta Pendidikan 1996, di sekolah rendah dan menengah kebangsaan.

Jemale berkata, antara rasional utama gesaan memansuhkan pelaksanaan PPSMI di sekolah rendah ialah murid mesti diberi peluang memperoleh pendidikan awal dalam bahasa ibunda yang 'mesra' dengan kehidupan harian untuk menarik minat, memudahkan pemahaman serta memantapkan penguasaan asas mereka. Dalam konteks ini, katanya, pelaksanaan PPSMI di sekolah rendah menyebabkan murid yang lemah bahasa Inggeris bukan saja menjadi mangsa keciciran dalam penguasaan dua subjek kritikal itu, malah berasa tersisih, rendah diri dan seolah-olah dinafikan peluang pembelajaran sama rata. "Apabila bahasa pengantar Sains dan Matematik di sekolah rendah ditukarkan semula kepada bahasa Melayu serta bahasa ibunda kelak, murid boleh diberi pendedahan awal menghadapi pelaksanaan PPSMI di sekolah menengah melalui pembelajaran istilah berkaitan yang banyak diajar menerusi mata pelajaran Bahasa Inggeris. "Dari segi pengukuhan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid pula, ia perlu dilakukan menerusi kemantapan guru, prasarana serta proses pengajaran dan pembelajaran subjek itu sendiri, bukan melalui mata pelajaran Sains ataupun Matematik," katanya.

.

Saturday, December 27, 2008

Serigala Jadian

.



Menyalak kepada bulan, membunuh dan memakan daging manusia

PADA 1573, seorang lelaki Perancis, Gilles Garnier dibakar hidup-hidup selepas lebih 50 saksi melihat dia mengoyak badan kanak-kanak dan memakan daging manusia yang dibunuhnya. Garnier mengaku dia membunuh dan memakan daging lebih empat kanak-kanak berusia antara 10 hingga 12 tahun kerana dia adalah serigala jadian. Menurutnya, dia memperoleh keupayaan untuk bertukar daripada manusia kepada raksasa serigala selepas bertemu dengan syaitan ketika berburu bagi mencari makanan di dalam hutan pada waktu malam.
.
Syaitan itu memberi krim magis yang membolehkannya bertukar menjadi serigala jadian dan dia mula menculik kanak-kanak serta memakan daging mangsanya itu. Bagaimanapun, tindakan Garnier akhirnya terbongkar selepas beberapa saksi terserempak dengannya yang sedang melakukan perbuatan berkenaan. Kira-kira 31 tahun kemudian, kes sama turut berulang di Perancis. Seorang remaja, Jean Grenier, 13, mendakwa pernah bertemu dengan syaitan di dalam hutan dan puaka itu memberikannya kulit serigala yang membolehkan jasadnya bertukar menjadi serigala jadian. Selepas bertukar menjadi serigala jadian, dia berkeliaran pada setiap malam untuk membunuh dan memakan kanak-kanak. Grenier akhirnya dihukum penjara seumur hidup di Biara Fransiskan.
.
Jasad serigala jadian. (Gambar kecil) Penghidap Hypertrichosis.
Seterusnya melewati masa, beberapa lagi kes sama dilaporkan di pelbagai tempat di seluruh dunia - manusia membunuh selepas bertukar menjadi serigala jadian. Persoalannya, adakah benar jasad manusia mampu bertukar menjadi raksasa berupa haiwan menggunakan ilmu sihir atau bantuan syaitan? Kepercayaan mengenai fenomena mistik itu bukanlah suatu perkara baru malah ia sudah berlarutan selama ratusan tahun malah wujud dalam budaya banyak bangsa di dunia ini. Masyarakat kuno Sepanyol, Portugis dan Brazil misalnya percaya bahawa manusia memang mampu bertukar menjadi serigala. Menurut kepercayaan lama mereka, sekiranya sesebuah keluarga memiliki enam anak perempuan, maka anak ketujuh mereka akan menjadi serigala jadian sekiranya anak itu adalah lelaki. Di Itali, Perancis dan Jerman pula, wujud kepercayaan bahawa seorang lelaki akan bertukar menjadi serigala jadian sekiranya dia tidur di luar rumah pada malam Rabu atau Jumaat tertentu pada musim panas dan cahaya bulan memancar terus ke wajahnya.
.


.
Herodotus iaitu sejarawan Yunani dari abad kelima Sebelum Masihi (SM) pula menceritakan wujud puak Neuri pada zaman dulu yang dapat berubah menjadi serigala jadian selama beberapa hari dalam setahun. Di Malaysia juga turut terdapat kepercayaan yang hampir sama. Manusia kononnya dapat berubah menjadi harimau jadian menggunakan ilmu sihir atau saka. Teka-teki membingungkan mengenai kesahihan kewujudan serigala jadian menyebabkan penyelidik mula melakukan kajian bagi membongkar misteri terbabit. Akhirnya selepas lama mengkaji, mereka akhirnya mengakui bahawa fenomena manusia bertukar kepada serigala sememangnya wujud! Akan tetapi, keadaan sebenarnya bukanlah jasad manusia itu bertukar menjadi seakan serigala dengan wajah bengis dan ganas, badan berbulu serta memiliki taring dan kuku tajam. Sebaliknya, manusia terbabit sekadar berkelakuan seperti haiwan termasuk menyalak kepada bulan, merangkak dan merayau di tanah perkuburan pada waktu malam malah sanggup membunuh dan memakan daging manusia lain.
.
Perlakuan aneh itu diklasifikasikan penyelidik sebagai satu daripada penyakit mental luar biasa yang dikenali sebagai ‘lycanthropy’ dan penyelidik percaya kes membabitkan serigala jadian seperti dialami Jean Grenier dan Gilles Garnier sebenarnya berpunca daripada lycanthropy. Pengarang buku ‘Penyakit Mental Luar Biasa’, Richard Noll ketika mengulas penyakit itu berkata: “Seseorang yang mengalaminya percaya bahawa mereka sesungguhnya menjadi serigala, ditumbuhi bulu dan kuku yang tajam.” Selain sindrom lycanthropy, penyelidik percaya bahawa cerita mengenai serigala jadian mungkin berasal daripada sejenis penyakit genetik dikenali sebagai Hypertrichosis yang menyebabkan hampir keseluruhan jasad penghidapnya ditumbuhi bulu sehinggakan penampilan luaran seseorang itu seakan-akan serigala. Maka tidak mustahil terdapat penduduk zaman dulu yang menghidap Hypertrichosis dan kewujudan mereka dengan jasad dipenuhi bulu itu kemudian disalah anggap masyarakat sebagai serigala jadian. Seterusnya salah tanggapan itu berkembang melewati masa sehingga momokan kewujudan serigala jadian terus menjadi popular dan diminati ramai pada hari ini.

.

Info: Serigala jadian

.
Rekod kepercayaan terawal mengenai kisah serigala jadian dikatakan bermula pada 1550 SM iaitu Raja Lycaon dari Arcadia mempersembahkan daging manusia kepada dewa Zeus menyebabkan dia dihukum menjadi serigala atas kesalahan itu.

Antara 1520 hingga 1630 di Perancis, terdapat lebih 30,000 rekod kes membabitkan penduduk yang mendakwa mereka adalah serigala jadian.

Dilaporkan, seorang daripada 340 juta penduduk dunia menghidap Hypertrichosis.


.

Rumah Termewah


ANTILLA, 'istana' Mukesh Ambani mengungguli senarai kediaman termahal di dunia hanya selepas ia siap dibina pada Januari 2009. Sehingga detik itu, empat kediaman yang menjadi sebutan seluruh dunia ialah;


Villa La Leopolda

Lokasi: Cap Ferrat, Perancis
Nilai semasa: RM1.6 bilion

KEDIAMAN Roman Abramovich, pemilik kelab bola sepak Chelsea, diisytiharkan yang termewah di dunia kerana dibeli dengan harga RM1.6 bilion.
Keputusan membeli villa di atas bukit mengadap French Riviera itu dibuat selepas jutawan Russia itu terpaut dengannya ketika bersiar-siar di kawasan berkenaan bersama teman wanitanya, Daria Zhukova. Villa berwarna krim bergelar La Leopolda itu bukan saja dikenali kerana panorama menakjubkan laut selatan Perancis, tetapi juga terletak di kawasan kaya alam semula jadi selain di kawasan itu turut dibina rumah peranginan Villefranche. Seramai 50 tukang kebun diupah untuk menyelenggarakan landskap seluas 8 hektar yang ditanam dengan 1,200 pokok saru, zaitun, limau dan lemon. Pemilik sebelumnya termasuk tokoh perbankan terkemuka mendiang Edmund Safra; pengasas Microsoft, Bill Gates dan hartawan perusahaan kereta Fiat, Gianni Agnelli.
Asalnya, villa ini dibina untuk perempuan simpanan Raja Belgium, King Leopold II. Namun, pada 1916 ketika perang dunia pertama, anak saudara juga pewarisnya, King Albert I mengubah fungsi kediaman itu menjadi hospital pegawai tentera yang cedera dalam pertempuran. Setiap bulan, Abramovich perlu membayar kira-kira RM94 juta untuk gadai janjinya. Ini bukan kali pertama dia membeli hartanah kerana sebelum ini, dia turut memiliki Chateau de la Croe yang terletak tidak jauh dari La Leopolda, bernilai RM94 juta. Kediaman ini dulunya dihuni bekas monarki British, Duke of Windsor yang melarikan diri dengan Wallace Simpson pada 1938. Abramovich juga pemilik hartanah di Knightsbridge, Sussex dan Russia.




Updown Court Windlesham

Lokasi: Surrey, England
Nilai semasa: RM458 juta
Luas kediaman: 60,000 kaki persegi

DITAWARKAN untuk jualan pada 2005. Kediaman 103 buah bilik yang dibina di atas tanah seluas 23.2 hektar ini menyajikan panorama berlandskap dan hutan kecil. Terletak di pinggir desa yang menampilkan pemandangan alam semula jadi, kelebihan ini mengundang fantasi buat penghuninya terutama yang mengimpikan kehidupan cerita dongeng kanak-kanak. Selain lobi dan dewan tari-menari yang tersergam indah, rumah agam ini turut menyediakan bilik panik, sebuah gelanggang skuasy, sebuah pusat boling, lapangan helikopter mendarat, pawagam memuatkan 50 penonton, garaj bagi lapan limosin manakala laluan masuk ke rumah dilitupi marmar sekali gus menguatkan lagi ciri mewahnya. Dua puluh dua daripada 103 bilik adalah bilik tidur dilengkapi kamar mandi berkemasan jubin.



Starwood/Hala Ranch


Lokasi: Aspen, Colorado, Amerika Syarikat
Nilai semasa: RM448 juta
Luas kediaman: 56,000 kaki persegi


DIILHAMKAN daripada perkataan Arab ‘Ahalan’ yang bermaksud selamat datang, Hala Ranch yang juga dikenali sebagai Starwood Ranch adalah kediaman terbesar di barat Amerika Syarikat dan kedua terbesar seluruh dunia. Sebelum ini, Hala Ranch milik duta Arab Saudi yang ditugaskan di Amerika Syarikat, Putera Bandar bin Sultan. Namun, kini terpaksa dijual kerana putera itu menjawat jawatan baru sebagai kaunselor keselamatan negara di tanah airnya, Arab Saudi. Menakjubkan kerana luas bahagian tengahnya saja mampu menyaingi ukuran Rumah Putih. Kediaman ini menawarkan 15 bilik tidur dengan setiap satunya berkembar patio bersama 16 bilik air. Lif dibina bagi pengunjung menjelajah seisi rumah yang ditunjangi hiasan dalaman dan kemasan daripada kayu mahogani, gangsa selain tingkap kaca berwarna. Bilik tetamu dibina bersambung dengan taman dalam rumah yang mengandungi kolam renang dan air terjun buatan selain diberi jaminan keselamatan menerusi sistem penggera canggih.




Maison de L'Amitie


Lokasi: Palm Beach, Florida, Amerika Syarikat
Nilai semasa: RM415 juta
Luas kediaman: 43,000 kaki persegi


RUMAH agam ini dibeli Donald Trump pada 2004 dalam satu lelongan dengan harga RM136 juta. Pemilik asalnya ialah bekas eksekutif kesihatan, Abe Gosman. Kediaman mengagumkan ini menawarkan dewan tari-menari, rumah pemuliharaan (konservatori) selain sebuah kolam renang sepanjang 100 kaki. Trump menetapkan harga jualan semula sejumlah RM125 juta. Matlamatnya ialah memecahkan rekod syarikat hartanah Ron Perelman yang berjaya menjual rumah termahal di Palm Beach Florida pada 2004 dengan nilaian RM232 juta.
.

Rumah Termahal Di Dunia

.

KOS pembinaan rumah jutawan petrokimia India, Mukesh Ambani setinggi 27 tingkat di Altamount Road, Mumbai melampaui belanjawan membina hotel ternama dan dikenal pasti rumah termahal di dunia. 'Istana' yang dinamakan Antilla itu dijangka siap awal tahun depan. Rumah termahal dunia Mukesh Ambani bakal menggaji 600 pekerja bagi membersih dan menyelenggara kediaman mewah 27 tingkat

NITA Ambani bukan sembarangan wanita, dia adalah isteri jutawan petrokimia tersohor Mumbai sekali gus peneraju Reliance Industries, Mukesh Ambani. Sehingga Mac tahun ini, Mukesh dengan anggaran aset RM142 bilion (AS$43 bilion) dinobatkan laman web Forbes lelaki kelima terkaya di dunia. Sebagaimana wanita lain di dunia, Nita cukup bertuah kerana suaminya sanggup membina kediaman mewah dan selesa 27 tingkat bernilai RM6.6 bilion (AS$2 bilion) buat diri dan tiga anaknya. Tanggungjawab membina rumah impian Nita dan suaminya itu diamanahkan sepenuhnya kepada firma arkitek Perkins + Wills and Hirsch Bedner yang sebelum ini diakui kebolehan mereka melalui pembangunan Mandarin Oriental Dallas dan Los Angeles.

Pengarah Pemasaran Hirsch Bedner Associates, Thomas Johnson, berkata arkitek dan juru hias dalamannya bertungkus lumus menyiapkan pelan lantai, memikirkan reka bentuk seterusnya menentukan konsep serta tema bangunan. Pembinaan kediaman mewah di Altamount Road, Mumbai di atas tapak tanah seluas 4939.81 meter persegi bermula penghujung 2006 dan dijangka siap untuk diduduki pada September 2008. Bangunan pencakar langit seperti istana itu digelar Antilla bersempena nama sebuah pulau sarat mitos. Kos pembinaannya melampaui belanjawan membina hotel ternama dengan setiap tingkat ditampilkan ukuran, bahan dan struktur seni bina berbeza meliputi lantai, lampu, pintu, bingkai tingkap dan sebagainya. "Sekiranya aras sembilan menitipkan kemasan logam dan kayu disulami sentuhan kristal, tingkat 11 tidak akan mengetengahkan unsur itu lagi. Ini permintaan Nita yang mahukan pertembungan konsep dengan elemen seni bina bagi ruang konsisten tanpa ada pengulangan gaya," kata pakar hiasan dalaman Hirsch Bedner Associates.
.

Struktur seni bina berkenaan dibentuk menerusi prinsip Vaastu yang boleh disamakan dengan feng shui. Matlamat utamanya untuk mendapatkan aliran pergerakan sihat ruang berpandukan susun atur strategik bilik, objek dan kemasan. Kuarters keluarga yang memuatkan sebuah lobi dan menghimpunkan sembilan lif, beberapa bilik penyimpanan serta ruang bersantai terletak di aras tujuh selepas enam tingkat tempat meletak kereta untuk 170 lot parkir. Sebaik menuruni dua sayap tangga dengan selusur bersepuh perak, tetamu bertemu dewan tari menari berhias siling kristal. Ruang ini menjadi wadah seni menerusi sisipan monitor LCD lengkap sistem pembesar suara selain dibina sebuah pentas pertunjukan. Sesuai statusnya sebagai usahawan ternama, Mukesh sering menganjurkan majlis korporat di kediamannya.
.
Namun, pandangan isteri dan anak-anak yang menginginkan gaya penataan menggambarkan akar umbi bangsa tidak diabaikan. Buktinya, sinki yang dibina memanjang dari ruang santai berlanjutan ke ruang hiburan dilengkapi pawagam dan stor wine direka menyerupai daun gingko, spesies tumbuhan yang dekat dengan masyarakat India. Saliran paipnya menampilkan rekaan mirip batang daun yang 'menjalar' hingga ke sinki. 'Health level', aras yang dikhususkan untuk sukan dan riadah menempatkan patio, kolam renang, gimnasium dan studio yoga. Pasangan Ambani memenuhi kawasan patio dengan pelbagai spesies pokok tempatan. Aras ini juga menyediakan bilik berais khusus kegunaan penghuni dan tetamu melarikan diri dari bahang cuaca kota Mumbai. Menariknya, bilik sejuk ini menawarkan pengalaman berada di negara empat musim apabila disertakan hujan salji buatan manusia.
.
Pada ketika cuaca nyaman, Ambani sekeluarga berpeluang menghirup udara segar yang ditawarkan empat tingkat landskap terbuka. Kayu yang menguatkan alang dan menyokong dua pertiga bahagian atas bangunan berbentuk ‘W’ mengilhamkan atrium terbuka untuk taman dan halaman. Landskap hidroponik dan pokok bersifat kekal elemen paling rumit direalisasikan namun kewujudannya didorong dengan sebab. Keupayaan tumbuh-tumbuhan menyerap cahaya matahari dimanfaatkan menjadi sumber tenaga yang boleh diubahsuai merujuk keperluan. Menerusinya, suasana kediaman pada musim panas boleh menjadi dingin manakala ketika cuaca sejuk, suhu menyamankan tubuh. Empat tingkat teratas dijadikan ruang peribadi Ambani sekeluarga termasuk ibunya, Kokilaben. Istimewanya ruang ini kerana menampilkan pemandangan Laut Arab dan seluruh kota Mumbai.
.
Menurut Penolong Jurutera BMC, syarikat yang bertanggungjawab mereka pelan cadangan bagi pembinaan bangunan ini, kira-kira 600 pekerja bakal digajikan Mukesh bagi membersih, menjaga dan menyelenggara kediamannya. Di sebalik nama Antilla Antilla atau Antillia adalah pulau puaka yang dipercayai berada di tengah Lautan Atlantik di barat Sepanyol. Nama lain pulau mistik ini adalah Isle of Seven Cities, Ilha das Sete Cicades (bahasa Portugis), Septe Cicades, Sanbrandan atau St Brendan dan sebagainya. Nama asalnya tidak diketahui. Etimologi tertua dikeluarkan pada 1455 menghubung-kaitkan nama itu dengan platonik Atlantis, manakala versi terkemudian mengaitkannya dengan Jezirat Al Tenny, “Pulau Naga”, disebut Pulau Naga oleh ahli geografi Arab. Legenda pulau bermula pada 74 Tahun Masihi apabila Quintus Sertorius, komander tentera dan konsulat Sepanyol yang baru pulang dari medan pertempuran Mauretania (Utara Maghribi) bertemu kelasi berpengalaman singgah di pulau Atlantik.
.
Teruja dengan cerita kelasi berkenaan, Sertorius memasang tekad mencari pulau terbabit sebelum mengambil keputusan menetap di situ.
.
Fakta Menarik Antilla

Merujuk pelan, bangunan ini menawarkan ketinggian 173.12 meter bersamaan ketinggian bangunan 60 tingkat. Namun, disebabkan Antilla memperuntukkan 27 tingkat, ini bermakna setiap arasnya dilengkapi siling berketinggian lebih tiga meter daripada ukuran sepatutnya.

Enam tingkat tempat meletak kereta bakal memuatkan 170 kereta import tuan rumah. Turut disediakan pusat servis kereta yang ditempatkan di aras tujuh.

Tingkat lapan mengandungi pusat hiburan lengkap mini pawagam dengan kapasiti 50 orang pada satu masa.

Dua tingkat di atas 'health level' menempatkan unit pangsapuri berdinding kaca untuk penginapan tetamu.

Dua tingkat di atas kediaman keluarga diperuntukkan sebagai kawasan penyelenggaraan. Di atasnya pula, disediakan 'ruang udara' berfungsi sebagai bilik kawalan untuk helikopter mendarat.
.

Friday, December 26, 2008

Blog Hina Nabi


KUALA LUMPUR 26 Dis. - Sebuah laman blog dikesan penuh dengan penghinaan yang amat sangat terhadap Nabi Muhammad SAW.

Blog tersebut turut menggunakan gambar dan lukisan kononnya milik seorang wanita Melayu. Bagaimanapun dipercayai gambar dan nama wanita itu hanya diperalat oleh pihak lain.
Soalnya, siapakah sebenarnya di sebalik blog tersebut. Apa yang pasti nombor telefon yang tertera pada laman blog itu, yang kononnya milik penulis blog terbabit, ketika dihubungi wartawan Utusan Malaysia mendapati ia merujuk kepada nombor telefon sebuah pejabat berdasarkan respon rakaman mesin jawapan.

Berdasarkan blog terbabit lagi, kononnya penulis wanita tersebut berfikiran terbuka.
Justeru ia sarat dengan pelbagai tohmahan dan penghinaan ditujukan kepada Rasulullah. Segala penghinaan itu pula disertakan dengan gambar wajah orang yang diubah suai bagi tujuan menghina dan mempersenda serta lukisan-lukisan yang memburukkan Nabi Muhammad termasuklah yang pernah disiarkan oleh akhbar Eropah yang telah dikecam hebat oleh umat Islam di seluruh dunia.

Sementara itu ada pembaca menghubungi pejabat Utusan Malaysia malam ini yang mahukan pihak berkuasa bertindak segera terhadap blog tersebut.


.

Isu Tali Pinggang

KUALA LUMPUR: Berkuat kuasa 1 Januari ini, saman maksimum RM300 akan dikeluarkan serta-merta kepada pemandu atau penumpang kereta yang gagal mematuhi peraturan pemakaian tali pinggang keledar tempat duduk belakang. Saman itu akan dikeluarkan terus kepada penumpang belakang yang berusia 17 tahun ke atas jika gagal mematuhi peraturan terbabit, manakala bagi kanak-kanak atau remaja di bawah usia berkenaan, ia akan diberikan kepada pemandu.

Sumber memberitahu, kadar saman maksimum RM300 dan kaedah pelaksanaan terbabit sudah diputuskan Kementerian Pengangkutan baru-baru ini, manakala arahan mengenainya akan dikeluarkan kepada pihak berkuasa terbabit untuk dilaksanakan. "Kita dijangka memuktamadkan mengenai kaedah terbaik untuk menguatkuasakan peraturan itu dalam satu mesyuarat yang dijadual diadakan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selasa ini.

"Pengumuman rasmi mengenai kaedah pelaksanaan dan penguatkuasaan peraturan baru itu pula dijangka dibuat Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat pada hari yang sama," katanya kepada Berita Harian, semalam.

Sumber itu berkata, keputusan mengeluarkan saman terhadap penumpang yang tidak memakai tali pinggang keledar di tempat duduk belakang dan pemandu yang gagal memastikan penumpang di bawah umur dalam kereta mereka mematuhi peraturan itu diputuskan semalam. Cadangan mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar bagi penumpang bahagian belakang kenderaan mula ditimbulkan pada Mac 2006 oleh Menteri Pengangkutan ketika itu, Datuk Seri Chan Kong Choy berikutan syor pelbagai pihak.

Bagaimanapun, ia hanya diluluskan oleh Kabinet pada Februari lalu selepas kajian mengenainya dilakukan kementerian dengan kerjasama JPJ, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan PDRM. April lalu, rang undang-undang mengenai penguatkuasaan peraturan itu diluluskan di Dewan Rakyat dan Ong mengumumkan kerajaan akan mula menguatkuasakan peraturan berkenaan bermula pada 1 Jun lalu. Bagaimanapun, kerajaan memutuskan untuk memberi tempoh percubaan selama enam bulan bagi membolehkan pengguna membiasakan diri dengan peraturan baru berkenaan sebelum ia diwajibkan sepenuhnya bermula 1 Januari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah JKJR, Datuk Suret Singh ketika dihubungi semalam berkata, kerajaan sudah menetapkan supaya peraturan itu dikuatkuasakan sepenuhnya bermula tahun baru ini walaupun ada pihak mendesak ia dikaji semula atau ditangguhkan lagi. Katanya, kajian semula dan penangguhan tidak perlu kerana penyelidikan terperinci mengenai peraturan itu sudah dibuat sejak tiga tahun lalu membabitkan pelbagai aspek termasuk kaedah pelaksanaan terbaiknya serta serta kesannya kepada rakyat.

Kita sedih bila niat murni kerajaan yang bertujuan untuk menyelamatkan nyawa pengguna jalan raya disalah anggap sebagai tindakan menyusahkan. JKJR dan Miros sudah membuat penelitian semula apabila menerima bantahan ramai dan mendapati ia tidak wajar ditangguhkan," katanya. Sebelum ini, Miros mengumumkan kajian yang dilaksanakannya menunjukkan bahawa 40 hingga 50 peratus daripada jumlah kes kematian, cedera parah dan kecederaan ringan membabitkan penumpang belakang boleh diselamatkan menerusi pemakaian tali pinggang di tempat duduk belakang.


.

Bush Terus Diserang


Bush terus 'diserang': Sekumpulan penduduk Iran membaling kasut ke arah poster Presiden Amerika Syarikat, George W Bush sebelum solat Jumaat, semalam. Mereka mengikut tindakan wartawan Iraq, Muntadhar al-Zeidi, yang melemparkan kasutnya ke arah Bush pada sidang media di Baghdad. Ketika membaling kasutnya, Muntadhar berkata, ia sebagai kemarahan serangan dan bantahan kehadiran tentera Amerika di Iraq.


Thursday, December 25, 2008

Ujian HIV wajib 2009


KUALA LUMPUR: Peraturan yang mewajibkan bakal pengantin beragama Islam menjalani ujian saringan HIV, akan dikuatkuasakan di semua negeri di Se menanjung, mulai tahun depan. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata saringan itu akan dijalankan ketika bakal pengantin mengikuti kursus pra perkahwinan.
.
"Langkah ini selaras dengan sasaran kerajaan untuk mengurangkan kes HIV, terutama di kalangan wanita yang kini menunjukkan peningkatan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Aids di bangunan Parlimen, semalam. Ketika ini, hanya beberapa negeri termasuk Selangor, Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak dan Kelantan, mewajibkan bakal pengantin beragama Islam menjalani saringan HIV.
.
Beliau berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan turut turun padang berjumpa penagih dadah dalam usaha mengurangkan kes jangkitan HIV. Najib berkata, jawatankuasa itu membuat keputusan memberi fokus kepada kumpulan berisiko tinggi, yang pendekatannya akan dibincangkan pada mesyuarat akan datang. "Mesyuarat juga menetapkan supaya Majlis Aids Malaysia menjadi ahli jawatankuasa Kabinet itu.
.
Sebelum ini, majlis itu menganggotai Jawatankuasa Teknikal Mengenai Aids yang dipengerusikan Ketua Pengarah Kesihatan," katanya. Beliau berkata, menerusi usaha yang lebih tersusun di bawah Pelan Strategik Kebangsaan mengenai Aids 2006-2010, Malaysia berjaya mengurangkan kes jangkitan HIV sebanyak kira-kira 50 peratus daripada 6,756 kes pada 2003 kepada 3,452 kes tahun ini. Antara faktor terbesar yang menyumbang kepada pengurangan itu ialah program pengurangan mudarat oleh Kementerian Kesihatan membabitkan penggunaan methadone sebagai penggantian dan program penukaran jarum bersih serta khidmat kaunseling.
.
Bagaimanapun, Najib berkata program itu perlu diperhebatkan supaya dapat mencapai sasaran mengurangkan jangkitan HIV/Aids kepada 11 kes bagi setiap 100,000 penduduk menjelang 2015, berbanding 12.8 kes bagi setiap 100,000 penduduk sekarang. Timbalan Perdana Menteri turut menyuarakan kebimbangan berhubung trend jangkitan HIV di kalangan wanita yang meningkat daripada 5.02 peratus pada 1997 kepada 16.7 peratus pada 2007. Secara kumulatif pula, kes HIV sehingga kini berjumlah 83,527 dan daripada jumlah itu 14,317 adalah pesakit Aids dan 12,245 orang sudah meninggal dunia.
.
"Oleh itu, kita perlu menganggap Aids sebagai ancaman serius dan mengikut Tabung Aids Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNAids), Malaysia dikategorikan sebagai negara dalam kumpulan berisiko tinggi," katanya. Beliau berkata, UNAids juga mengambil maklum usaha yang dijalankan Malaysia dan sejak beberapa tahun lalu, status negara ini ditukar daripada negara yang kurang kesungguhan politik memerangi Aids kepada yang mempunyai kesungguhan tinggi memerangi Aids. "Ini menandakan Malaysia sudah mendapat pengiktirafan pada peringkat antarabangsa," katanya.
.

Saturday, December 20, 2008

Isu PPSMI

Sains, Matematik dalam BI jadi beban berganda

JERANTUT: Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) menolak ketetapan dibuat dalam Persidangan Meja Bulat Pengajaran dan Pembelajaran Sains serta Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang merumuskan tujuh pilihan untuk dipertimbangkan kerajaan dalam membuat keputusan mengenai masa depan PPSMI. Presidennya, Mohamad Sabri Mohamad Arsad, berkata tujuh pilihan itu menjadi semakin keliru dan menyukarkan semua pihak untuk membuat pilihan.

"Kita mahu bahasa Melayu dijadikan bahasa teras untuk memudahkan pelajar mempelajari kedua-dua subjek itu tanpa kekangan bahasa. "Dua subjek itu membebankan dan ditambah pula dengan masalah bahasa akan menjadikan bebanan berganda kepada pelajar, sekali gus menyebabkan mereka terus keciciran," katanya kepada Berita Harian, semalam. Mohamad Sabri berkata, tujuh pilihan disediakan itu seolah-olah tidak memberi peluang dan ruang untuk rakyat memilih kerana semuanya turut menjurus ke arah mahu mengadakan pengajaran dalam bahasa Inggeris.

Katanya, antara masalah dikenal pasti ialah kemahiran guru dalam bahasa Inggeris untuk mengajar dua subjek berkenaan adalah terhad dan ia bakal memberi masalah kepada murid. "Perkara ini menjadi lebih kritikal di pedalaman, malah keluarga di bandar juga menghadapi masalah sama jika bahasa Inggeris bukan bahasa harian mereka. "Jadikanlah pemansuhan tulisan Jawi di sekolah rendah pada 60-an sebagai iktibar kerana kesannya kepada generasi sekarang menyebabkan mereka tidak boleh menulis dan membaca jawi dengan lancar sehingga akhbar jawi terus ditutup," katanya. Mohamad Sabri berkata, peratusan pelajar yang dihantar ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang juga masih rendah, berbanding mereka yang berada di negara ini.

"Jika kita mahu menghantar pelajar ke luar negara, mereka perlu menghadiri kelas khas atau persediaan seperti diamalkan sebelum ini dan mampu berjaya cemerlang di luar negara. "Jadi, alasan pengajaran dalam bahasa Inggeris itu untuk menyaingi dan selari dengan keperluan global adalah tidak patriotik sekali," katanya. Beliau juga menyokong pendapat Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan yang mahukan bahasa Melayu kekal dalam subjek berkenaan.

RTM haram lagu Dr. Asri

KUALA LUMPUR: Radio Televisyen Malaysia (RTM) membuat keputusan mengharamkan penyiaran lagu Aku Bukan Musuh Harta yang liriknya ditulis bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin. Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Adilah Shek Omar, berkata lagu nyanyian kumpulan Kopratasa itu tidak diluluskan kerana liriknya tidak sesuai.

"Kita tidak luluskan lagu ini kerana liriknya kasar," katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam. Lagu ini adalah satu daripada lapan lagu puisi Dr Asri yang dimuatkan di dalam album Yang Benar Tetap Benar nyanyian Kopratasa dan beberapa penyanyi lain. Dr Asri yang kini menyambung pembelajarannya di sebuah universiti di Lampeter, United Kingdom, tidak dapat dihubungi.

Difahamkan stesen radio dan televisyen swasta tidak mengambil tindakan yang sama mengharamkan lagu itu. Antara lain lirik lagu itu menyebut Ya telah kaya para pendusta, syarat mereka lupakan Yang Esa, harta rakyat semua disebat, harta awam semua dibekam, hukum syaitan mereka bertuhan. Selain daripada menulis lapan lirik lagu itu, Dr Asri turut menyampaikan dua puisi bertajuk Itulah Politik Namanya dan Salah Menduga.
.
dipetik drp Berita Harian
.

Tuesday, December 16, 2008

PILIHAN AJAR SAINS, MATEMATIK

.
TIMBALAN Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong (kanan), mempengerusikan Mesyuarat Terbuka Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dan Bahasa Inggeris di PICC, Putra Jaya, semalam. Hadir sama Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin


Pakar rumus masa depan pelaksanaan PPSMI PUTRAJAYA: Persidangan Meja Bulat Pengajaran dan Pembelajaran Sains serta Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang berakhir di sini semalam, merumuskan tujuh pilihan untuk dipertimbangkan kerajaan dalam membuat keputusan mengenai masa depan PPSMI.

Pilihan itu ialah:
1. Meneruskan PPSMI seperti sedia ada.
2. Menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di peringkat sekolah rendah tetapi
meneruskan PPSMI di sekolah menengah.
3. Memulakan PPSMI dari Tahun Empat hingga sekolah menengah.
4. Menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di sekolah rendah dan digunakan
sepenuhnya di sekolah menengah.
5. Penggunaan bahasa pengantar untuk Sains dan Matematik ditentukan oleh sekolah.
6. Penggunaan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di Tahun Satu hingga Tiga, diikuti dwibahasa
pada Tahun Empat hingga Enam dan penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya di sekolah
menengah, dan
7. Memansuhkan mata pelajaran Sains di Tahun Satu hingga Tiga, tetapi mengajar ilmu Sains
dalam mata pelajaran lain.

Pilihan itu dirumuskan selepas lima sesi Persidangan Meja Bulat PPSMI diadakan, yang disertai tokoh akademik, penyelidik, parti politik dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Pakar dari Lembaga Pentaksiran dan Kurikulum Victoria, Australia (VCAA), William Perrin, turut menyertai persidangan semalam. Ia diadakan bagi meneliti serta membahaskan semua laporan kajian, tinjauan dan pemantauan berkaitan PPSMI yang mencetuskan kontroversi berikutan desakan sesetengah supaya kerajaan mengkaji semula pelaksanaannya.

PSMI yang bermatlamat meningkatkan kecekapan pelajar sekolah rendah dalam bahasa Inggeris dimulakan dengan projek perintis lima tahun pada 2003. Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong, pada sidang media selepas mempengerusikan persidangan itu, berkata laporan rumusan berkenaan akan dikemukakan kepada Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, secepat mungkin sebelum dibentang kepada Jemaah Menteri. “Hishammuddin sedang melakukan lawatan kerja ke luar negara dan dijangka balik dalam masa beberapa hari ini untuk meneliti opsyen yang ada.

“Saya ingin tegaskan bahawa persidangan meja bulat atau keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 tidak menentukan keputusan mengenai PPSMI, tetapi ia akan dibawa ke peringkat Jemaah Menteri untuk keputusan muktamad,” katanya. Mengenai persiapan untuk pengajaran Sains dan Matematik bagi sesi persekolahan akan datang, Wee berkata, dasar PPSMI tidak akan diubah sehingga pengumuman dibuat di peringkat Jemaah Menteri. “Jika tidak ada pengumuman, maka secara konvensinya tiada perubahan akan berlaku (pada sesi persekolahan akan datang).

Sehingga ada pengumuman, apa yang perlu diubah akan disusuli dengan tindakan sewajarnya,” katanya. Beliau juga berkata keputusan mengenai PPSMI tidak akan dijalankan atas kepentingan politik, tetapi dibuat secara profesional. “Datuk Seri Hishammuddin sendiri mengecualikan diri daripada persidangan meja bulat siri pertama hingga kelima supaya beliau pada peringkat akhir dapat menerima pandangan semua pihak. “Jadi saya tidak mahu ada yang sangka bahawa kerajaan membuat keputusan mengenai PPSMI tanpa menerima pandangan pelbagai pihak,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan yang turut menyertai persidangan itu, berkata perkara penting yang diambil kira dalam merumuskan pelaksanaan PPSMI adalah untuk memastikan pelajar dapat memahami dan menguasai dengan mudah kedua-dua mata pelajaran terbabit. "Ini penting supaya pelajar dapat memahami sepenuhnya konsep pembelajaran Sains dan Matematik, sekali gus meningkatkan kebolehan mereka berfikir dengan lebih kreatif dan inovatif.

"Penggunaan bahasa Melayu sudah terbukti mampu melahirkan ramai golongan profesional dan saintis sebelum diperkenalkan PPSMI. Di negara maju, contohnya Jepun, Perancis dan Korea, mereka tetap boleh membangun walaupun menggunakan bahasa ibunda masing-masing," katanya kepada Berita Harian. Beliau berkata, pembelajaran dan pengajaran bahasa Inggeris pula boleh terus dipertingkatkan menerusi pendekatan lain, seperti penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), selain memantapkan penguasaan bahasa itu oleh tenaga pengajar.

.